suria

Seorang Lelaki Ditahan Disyaki Samun Kedai Serbaneka

SHAH ALAM: Seorang lelaki ditahan polis selepas menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam bersama rakannya di Jalan Pelabur, Seksyen 23, di sini awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata suspek yang berusia 20 tahun itu diberkas selepas polis menerima laporan daripada pekerja kedai terbabit mengenai dua lelaki yang melarikan wang tunai serta pelbagai jenis rokok bernilai kira-kira RM400 dalam kejadian pukul 1.50 pagi.

"Anggota polis yang sedang membuat rondaan ternampak dua lelaki yang dipercayai suspek kes samun kedai serbaneka itu dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Seksyen 18 di sini, kira-kira pukul 4 pagi.

"Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal kemudian bertindak melarikan diri sebelum terbabas dan menyebabkan kedua-duanya terjatuh berhampiran sebuah kilang di Seksyen 24 di sini," katanya dalam kenyataan Selasa.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis bertindak memberkas suspek, manakala rakannya berjaya meloloskan diri ke arah lorong gelap di belakang kilang berkenaan.

Shafien berkata siasatan awal menunjukkan suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun kedai serbaneka itu termasuk mengugut pekerja kedai menggunakan parang supaya menyerahkan wang tunai milik premis berkenaan.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat memburu rakan suspek yang masih bebas bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Artikel Lain