suria

Umno Kedah Sambut Baik Permohonan Ampun Nawawi Kepada Agong

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR: Umno Kedah menyambut baik permohonan ampun oleh Anggota Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata permohonan ampun tersebut atas kehendak Nawawi sendiri dan turut disyorkan oleh Umno negeri bagi menyelesaikan isu tersebut.

Beliau berkata tindakan tersebut adalah wajar selepas komentar Nawawi itu menjadi isu hangat yang diperkatakan oleh pelbagai pihak selepas disensasikan oleh individu tertentu.

"Pendirian Umno negeri ialah meletakkan Yang di-Pertuan Agong pada kedudukan teratas melebihi institusi politik dan sebagai rakyat harus menjunjung institusi diraja," katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Katanya kenyataan Nawawi itu disensasikan sehingga ia menjadi viral walaupun difahamkan anggota parlimen itu tidak berniat untuk mengaitkan atau mempersenda institusi diraja dengan isu politik.

Pada Isnin, Nawawi membuat kenyataan rasmi memohon keampunan kepada Yang di-Pertuan Agong ekoran kekeliruan yang timbul daripada komen beliau tentang istilah MO1 yang viral di media sosial pada 16 Ogos lalu.

Nawawi turut kesal dengan apa yang berlaku dan menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kaitan langsung dengan isu tersebut.

Artikel Lain