suria

181 Ekor Ular Ditemui Atas Kereta Api Ekspres Bangkok-Padang Besar

Kamarudin Jaafar (kiri) menunjukkan pelbagai haiwan eksotik pada sidang media di Pejabat JKDM Padang Besar pada Isnin. -fotoBERNAMA

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis merampas sebanyak 248 haiwan eksotik pelbagai bernilai RM70,000, dipercayai cuba diseludup ke negara ini dengan keretapi ekspres Bangkok-Padang Besar pagi Isnin.

Pengarahnya, Kamarudin Jaafar berkata haiwan- haiwan itu dipercayai dibawa untuk pasaran tempatan, memandangkan ia mendapat permintaan tinggi sebagai binatang peliharaan yang menjadi gaya hidup masyarakat masa kini.

"Pada 9 pagi tadi, anggota Kastam dari Unit Dagangan Keretapi telah memeriksa di bahagian koc penumpang dan kargo serta mendapati empat beg yang diletakkan secara mencurigakan.

"Dua beg dijumpai di dalam koc kargo dan dua lagi di tandas. Setelah meneliti beg-beg berkenaan melalui mesin pengimbas, didapati ada pergerakan yang dipercayai haiwan hidup di dalam beg tersebut," katanya dalam sidang media khas di sini, Isnin.

Kamarudin berkata rampasan semua haiwan berkenaan yang terdiri daripada 181 ekor ular, iguana (2); biawak Dhab (28); kura-kura (10); tupai (10); tupai Glider (6); dan arnab (11) akan diserahkan untuk tindakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perlis.

Bagaimanapun pemilik beg berkenaan gagal dikesan kerana telah meninggalkan barangannya begitu sahaja seolah-olah tidak bertuan, rampasan dibuat mengikut Akta Kastam 1967 (larangan bersyarat kecuali dengan cara yang diperuntukkan), menurut Kamarudin.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Perlis Mohamad Affendi Ibrahim berkata semua haiwan berkenaan adalah daripada spesies luar negara bernilai ratusan ringgit, setiap satu.

Mohamad Affendi berkata kes berkenaan akan dikendalikan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, Akta 716, tahun 2010.

Artikel Lain