suria

Saya Boleh Bercucuk Tanam Atau Tulis Buku, Tidak Akan Ganggu Pengganti - Najib

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak merancang untuk melakukan banyak perkara selepas bersara, namun berjanji tidak akan menggangu penggantinya.

Menerusi program dialog antara pemimpin pelajar baru-baru ini, Perdana Menteri bercakap secara terbuka mengenai tekanan yang dihadapinya termasuk daripada bekas pemimpin negara.

Kata Najib, beliau mahu melakukan banyak perkara yang tidak dapat dilakukannya kini selepas bersara dan bukannya masuk campur dalam urusan pentadbiran penggantinya.

Kenyataan itu dilihat merujuk kepada serangan yang dihadapinya daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta beliau meletak jawatan.

"Mungkin saya akan bercucuk tanam atau pergi tengok Manchester United main bola. Macam-macam kita boleh buat. Boleh pergi negara yang kita belum lawat atau boleh tulis buku.

"Kenapa saya nak ganggu successor saya? Pengganti saya. Tetapi kalau pengganti saya nak ajak saya minum kopi, nak belanja saya makan malam saya akan hadir," katanya.

Transkrip penuh program dialog yang berlangsung pada 18 Ogos lalu itu dimuat naik di laman blog Najib pada Isnin.

Selain itu Perdana Menteri berkata beliau tidak akan menyerang penggantinya secara terbuka.

"Saya akan beritahu dia, nasihat dia kalau perlu. Tetapi saya tidak akan tegur dia secara terbuka. Pada saya, that is not a right thing to do. Kita mesti ada understanding, sebagai bekas pemimpin we belong to select club. Maknanya kita mesti bantu antara satu sama lain," katanya.

Najib Tun Razak

Artikel Lain