suria

Polis Nafi Dua Beradik Didera Semasa Dalam Tahanan

IPOH: Polis menafikan laporan berita menyebut dua adik beradik yang ditahan April lepas untuk membantu siasatan, didera semasa direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata adik beradik terbabit, N. Letchumanan, 19, dan N. Vikram, 17, direman pada 20 April lalu selama enam hari mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Abdul Rahim menjelaskan kedua-duanya ditahan semula pada 26 April bagi membantu siasatan atas kesalahan merusuh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Pada 22 Mei, kedua-dua suspek yang merupakan anggota Kongsi Gelap 36 ditahan sekali lagi mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana terbabit dalam jenayah kekerasan dan direman selama 60 hari bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini malam Sabtu.

Menurut Abdul Rahim, berikutan penahanan di bawah POCA, Lembaga Pencegahan Jenayah telah memerintahkan kedua-dua suspek ditahan di Pusat Pemulihan Khas, Kluang, Johor selama dua tahun bermula 20 Julai lalu.

Berikutan penjelasan itu, beliau meminta mana-mana pihak termasuk adik beradik berkenaan yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis supaya menggunakan saluran sah mengikut undang-undang yang diperuntukkan.

Pada Jumaat, Letchumanan dan Vikram melalui peguam mereka T Shasi Devan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Kuala Lumpur kerana mendakwa telah didera. - BERNAMA

PDRM

Artikel Lain