suria

Jemaah Haji Dinasihat Tumpu Ibadah, Jangan Percaya Khabar Angin

MAKKAH: Jemaah haji dinasihatkan agar menumpu kepada ibadah semasa berada di tanah suci dan tidak memempercayai khabar-khabar angin yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan jemaah dan keluarga di tanah air.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sebaliknya jika terdapat sebarang keraguan atau untuk memastikan sesuatu perkara itu benar atau tidak, jemaah dinasihatkan agar mendapat pengesahan daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

"Janganlah mempercayai sebarang khabar angin yang tidak berasas kerana kami khuatir ia boleh menimbulkan suasana tidak baik kalangan jemaah sebaliknya berhubunglah dengan Tabung Haji untuk mendapat pengesahan.

"Tabung Haji sentiasa memantau perkembangan semasa melalui laman-laman sosial agar ia tidak mengganggu perasaan jemaah yang sedang menumpukan ibadah," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Jeddah dan terus ke maktab penginapan di sini, pada Sabtu.

Seramai 473 jemaah haji bersama 16 petugas TH tiba dengan penerbangan KT26 yang tidak ke Madinah sebaliknya terus ke sini yang menjadikan keseluruhan jemaah haji Malaysia yang berada di tanah suci seramai 11,934 orang.

Dua hari lepas, sebuah portal berita propembangkang melaporkan kononnya Ringgit Malaysia tidak diterima di Arab Saudi berikutan kejatuhan nilai Ringgit namun perkara itu dinafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sebaliknya Jamil Khir berkata jemaah Malaysia tidak berdepan sama sekali mengenai masalah tukaran wang itu malah TH sendiri menyediakan kaunter pengeluaran bagi memudahkan jemaah mengeluar wang mengikut tukaran wang Saudi Riyal.

Syed Saleh berkata jemaah Malaysia tidak berdepan masalah itu dan selain itu pengurup wang yang terdapat di tanah suci turut menerima tukaran wang itu.

"Jemaah haji dan keluarga di ibu negara jangan khuatir dengan perkara itu kerana ia tidak benar sama sekali," katanya.

Beliau juga turut menasihatkan jemaah haji agar mengambil berat soal keselamatan seperti tidak terbabit dalam sebarang perhimpunan serta perarakan dan menjaga harta benda semasa berada di tanah suci.

Sementara itu Syed Saleh berkata semua jemaah haji kini berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan hanya ada segelintir sahaja yang menghidap demam, batuk dan selesema berikutan keadaan cuaca di sini.

Katanya jemaah haji sentiasa mengambil berat dengan nasihat TH yang kini mengikut arahan untuk beribadat seperti dinasihatkan dalam keadaan cuaca yang kini mencecah kepada 44 darjah celsius.

"Jemaah sangat ambil berat mengenai soal itu dan mereka keluar untuk bersolat di Masjidil Haram atau keluar atas urusan lain pada waktu malam dan subuh yang tidak terdedah dalam keadaan cuaca panas," katanya.

Beliau juga berkata TH sentiasa memastikan soal kebajikan jemaah di tanah suci diambil berat dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan seperti bimbingan ibadat, kesihatan, kaunseling dan pengeluaran wang. - BERNAMA

jemaah haji, TH, ringgit Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain