suria

Kes Tembak: Permintaan Cermin Kalis Peluru Kereta Meningkat

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Susulan kejadian beberapa kes tembak terutama ke atas mangsa yang berada dalam kenderaan sejak akhir-akhir ini, membuatkan sebuah syarikat yang menawarkan produk kalis peluru bagi kenderaan turut menerima peningkatan tempahan alat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif XFYRE (M) Sdn Bhd, Khamil Ismail berkata syarikatnya yang menawarkan sistem keselamatan berteknologi tinggi untuk mengubah suai dan menaik taraf sesebuah kenderaan dengan ciri-ciri keselamatan seperti kalis peluru dan bom menerima tempahan yang meningkat sejak awal Ogos lalu.

"Pada awal bulan ini sahaja kita dapat lebih 50 tempahan, meningkat sekali ganda berbanding sebelum ini," dan antaranya yang membuat penempahan terdiri daripada orang kenamaan dan ahli perniagaan, katanya.

Beliau berkata pihaknya menggunakan teknologi carbon nanotube (CNT) dan dyneema yang merupakan teknologi terkini dalam menghasilkan cermin dan badan kereta yang mempunyai tahap keselamatan tinggi.

"Sebelum ini penggunaan teknologi CNT/dyneema hanya digunakan untuk membuat jaket kalis peluru, tetapi kini ia telah digunakan dalam pembuatan cermin dan badan kereta kalis peluru dan bom," katanya.

Khamil berkata melalui teknologi itu, pelbagai jenis kenderaan boleh dipasang dengan peralatan tersebut yang pertambahan berat keseluruhan kenderaan hanya dalam linkungan 80 kilogram.

"Ia lebih ringan berbanding penggunaan lapisan pertahanan lain yang boleh menambah berat sehingga 200 kilogram" katanya.

Beliau berkata pemasangan ciri-ciri keselamatan yang menggunakan gabungan teknologi Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman itu mampu menghalang peluru bersaiz dari 9 milimeter (mm) sehingga 7.62 atau 30-06 AP (armor piercing) daripada menembusi dan mengenai tubuh penumpang kereta yang dijadikan sasaran.

Ujian yang menilai kekuatan keselamatan rekaan kalis peluru dan bom itu telah mendapat kelulusan penuh daripada Insititut Penyelidikan Sains dan Teknologi Malaysia (STRIDE) serta badan penilaian dunia seperti National Institute of Justice United State (NIJ) NATO Standardization 4569 dan European Standard EN 1522.

"Harga bagi pemasangan ciri-ciri keselamatan itu secara keseluruhannya bermula dari RM65,000 ke atas mengikut pemintaan, spesifikasi dan jenis kenderaan pelanggan," kata Khamil. - BERNAMA

cermin kalis peluru, kes tembak

Artikel Lain