suria

Dua Pelancong Tergantung, Paracut 'Mendarat' Atas Pokok

GEORGE TOWN: Dua pelancong Jepun tergantung selama kira-kira 40 minit apabila paracut yang dinaiki mereka tersekat di sebatang pokok ketapang di Batu Ferringhi.

Tidak mengalami sebarang kecederaan, warga Jepun Kumiko Ito dan Manami Kato, kedua-duanya yang berusia 26 tahun, tergantung di pokok itu yang berketinggian 9.1 meter sementara menunggu bantuan.

Seorang saksi berkata Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) hotel bergegas untuk membantu kedua-dua mereka apabila payung terjun yang dinaiki tersekat di atas pokok ketapang, sejenis pokok tropika besar yang biasa ditemui di sini.

"Tilam telah diletakkan di atas tanah untuk menampung kedua-dua wanita itu sekiranya mereka jatuh.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba kira-kira 20 minit selepas panggilan dibuat," kata seorang saksi yang enggan namanya disiarkan.

Difahamkan bahawa mangsa sedang bercuti sehari dari Kuala Lumpur dengan sekumpulan rakan-rakan dan dijadual pulang ke Kuala Lumpur, Khamis.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mohamed Akbar Mustapha berkata mereka akan menyiasat kejadian itu.

"Saya akan mendapatkan laporan daripada anggota penguatkuasa majlis dan polis. MBPP akan memanggil lembaga siasatan untuk memeriksa punca kemalangan itu.

"Kami juga akan berbincang dengan Persatuan Pengusaha Sukan Air Pulau Pinang untuk membincangkan aktiviti parasailing."
parasailing, paracut, Batu Feringgi

Artikel Lain