suria

Nur Jazlan: Parti Pribumi Tidak Beri Kesan Dalam Politik Negara

Datuk Nur Jazlan Mohamed
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Rakyat akan mempunyai kesan minimum dalam arena politik kerana ia adalah sebuah parti baharu dan terpaksa bergantung kepada parti-parti pembangkang yang lain, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata parti itu tidak mempunyai sebarang jenis infrastruktur politik dan sokongan akar umbi, menjadikan mereka bergantung kepada parti-parti pembangkang yang kini dalam keadaan kucar-kacir.

Beliau juga memandang ringan pengaruh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa generasi muda tidak lagi senada dengan legasinya.

"Saya tidak fikir orang muda akan menyokong parti itu, mereka lebih suka menyokong parti pembangkang tradisional seperti PKR, PAS atau DAP," kata Nur Jazlan kepada The Star Online dalam satu temu bual.

Beliau berkata, Parti Pribumi harus dibenarkan untuk didaftarkan.

Tambahnya, Umno sentiasa bersatu ke arah memenangi pilihan raya umum akan datang.


"Jangan sekali-kali berpecah sebelum pilihan raya umum dan kekalkan perpaduan yang ada. Itu adalah resipi untuk memenangi pilihan raya umum.


"Oleh kerana setakat hari ini Umno masih bersatu dan pembangkang berpecah, peluang Umno untuk menang pilihan raya umum telah meningkat," katanya.


Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai, berkata kedudukan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Umno 'adalah sangat kuat kerana beliau tidak ada pencabar.'

Beliau berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada isu-isu keselamatan, terutama ancaman keganasan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan borang kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mendaftar Parti Pribumi baru-baru ini.

Pemimpin parti itu terdiri pemimpin Umno lalu seperti Dr Mahathir dan anaknya Mukhriz.

Artikel Lain