suria

Lebih 100 Liter Air Ketum Dirampas Di Kerian

BAGAN SERAI: Polis Kerian merampas 116.7 liter air ketum di Sungai Bakau dan Sungai Betul, Tanjung Piandang pada Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superitendan Mohd Radzuan Bachik berkata, dalam serbuan awal pagi itu, tujuh kilogram daun ketum kering dan 0.96 gram syabu turut dirampas selain lima lelaki termasuk dua adik-beradik turut ditahan. 

Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah stor di Sungai Bakau, dua lelaki masing-masing berumur 37 tahun dan 48 tahun ditahan bersama 16 bungkusan yang mengandungi 7.7 liter air ketum.

Dua lagi yang masing-masing berumur 29 dan 31 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Bawah, Sungai Betul bersama 109 liter air ketum, tujuh kilogram daun ketum kering dan dadah jenis syabu seberat 0.5 gram.

"Seorang lagi yang ditahan berumur 30-an dipercayai mempunyai hubungan adik beradik dengan seorang daripada suspek di rumah berkenaan dan polis menemukan 0.46 gram dadah jenis syabu," katanya dalam sidang media di IPD Kerian, Jumaat.

Mohd Radzuan berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan kegiatan pengedaran air ketum sekitar Tanjung Piandang dilakukan pasangan adik-beradik itu yang aktif sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata dengan penangkapan kesemua suspek, polis yakin aktiviti pengedaran dan ketagihan air ketum di sekitar Tanjung Piandang berjaya dibanteras sepenuhnya.

Katanya keseluruhan nilai rampasan air dan daun ketum serta syabu itu dianggar bernilai lebih RM1,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana suspek memiliki dadah serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -- Bernama

air ketum, Tanjung Piandang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain