suria

Penjawat Awam Di Kelantan Dilarang Bermain Pokemon Go

Mohd Amar Nik Abdullah.

KOTA BARU: Sekurang-kurangnya 3,000 kakitangan awam di Kelantan dilarang daripada bermain Pokemon Go di premis kerajaan berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata keputusan itu dibuat atas alasan keselamatan dan tidak membabitkan agama.

"Tindakan disiplin akan diambil terhadap penjawat awam negeri jika mereka ditangkap bermain permainan itu di pejabat atau premis kerajaan.

"Surat pekeliling akan diedarkan esok bagi menguatkuasakan peraturan baharu ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di sini Rabu.

Mohd Amar berkata pejabat setiausaha kerajaan negeri turut akan menguatkuasakan peraturan itu dan tindakan disiplin akan diambil terhadap pekerja yang tidak bertanggungjawab.

Jelas beliau, kerajaan negeri sudah mengkaji semua aspek permainan Pokemon Go dan menyedari ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa sahaja dan mengundang bahaya.

"Peraturan ini bukan satu fatwa. Ia dibuat atas alasan keselamatan dan kami mulakan dulu dengan kakitangan kerajaan negeri," katanya.

Pokemon Go, Kelantan

Artikel Lain