suria

Bekas Pengurus Syarikat Didakwa Terima Deposit Tanpa Lesen Sah

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus syarikat pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah, 10 tahun lalu.

Hoo Choon Cheat, 37, yang ketika itu seorang pengurus yang membantu dalam pengurusan syarikat Sunshine Empire Sdn Bhd didakwa menerima deposit daripada pendeposit-pendeposit tanpa lesen sah di bawah Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989.

Lelaki itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Blok A-11-1 (Tingkat 13) Penthouse, Menara Uncang Emas, 85 Jalan Loke Yew, di sini, antara 14 Julai dan 17 Oktober 2006 dan di Bangunan KUB.com, 12 Jalan Yap Kwan Seng, di sini antara 18 Oktober 2006 dan 4 April 2008..

Pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 106(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Bank Negara Alvin Ong Heng Kiat menawarkan wang jaminan RM1 juta dengan dua orang penjamin warga tempatan bagi kedua-dua pertuduhan serta dikenakan syarat menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Nur Lisa Ahmad Zamani yang mewakili Hoo memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh sentiasa memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Azman Ahmad membenarkan Hoo diikat jamin RM2 juta bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 19 September untuk sebutan semula kes.

Pada 30 Julai 2010, Hoo dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Daerah Singapura atas pertuduhan menjalankan kegiatan perniagaan secara penipuan dan menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 340 Akta Syarikat Singapura dan pecah amanah jenayah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan Singapura.

Pada 3 Jun 2010, Sunshine Empire didenda RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 kerana menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen yang sah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Saman PM, 1MDB

Artikel Lain