suria

Dua Penculik Ahli Perniagaan Ditahan Polis Di Ampang

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan melalui detik mencemaskan setelah diculik dan dikurung sehari di dalam sebuah rumah di Parit Jawa, Klang pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata lelaki berusia 39 tahun itu, yang menjalankan penternakan ayam, diculik tiga lelaki ketika  menunggu rakannya di hadapan Zoo Negara, Hulu Kelang dekat sini pada 4.30 pagi Sabtu.

"Penculik berkenaan menghubungi isteri mangsa berusia 39 tahun dan meminta wang tebusan sebanyak RM50,000 bagi melepaskan suaminya," katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Isteri mangsa, yang cemas selepas menerima panggilan itu, segera memberitahu  perkara berkenaan kepada rakan mangsa.

Selepas berunding dengan rakan mangsa, suspek bersetuju melepaskan ahli perniagaan itu dengan wang tebusan sebanyak RM20,000 di Sri Muda Klang pada  11.30 malam Sabtu."Sebaik sahaja dibebaskan, ahli perniagaan berkenaan melaporkan kejadian kepada pihak polis," katanya.

Hamzah berkata hasil siasatan, polis menahan dua lelaki berusia 25 dan 34 tahun di sebuah rumah di Taman Dagang, Ampang dekat sini pada 4.30 petang pada Isnin.

Polis turut merampas wang tunai RM5,000 dan resit deposit bank berjumlah RM5,000 daripada kedua-dua suspek itu.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, katanya sambil memberitahu pihaknya sedang mengesan dua lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan kes itu.-- Bernama


Parit Jawa, culik, Hamzah Alias

Artikel Lain