suria

Militan IS Rindu 'Nasi Lemak'

KUALA LUMPUR: Mereka meninggalkan keluarga untuk menyertai kumpulan pengganas IS di Syria tetapi secara realitinya beberapa ahlinya dari Malaysia dan Indonesia amat merindui makanan tradisi, nasi lemak dan juga sambal.

Pakar Anti-Keganasan, Noor Huda Ismail yang bertemu anak muda ini semasa menghasilkan sebuah dokumentari mengenai kehidupan beberapa militan berkata segelintir ahli IS dari Malaysia dan Indonesia kini mahu kembali ke tanah air.

"Mereka berkata teringin makan nasi lemak. Amat serius. Semua kempen IS bercakap bagaimana hebatnya kehidupan di sana tetapi ia hanya ilusi.

"Di sana, keadaan berdebu dan mereka berebut perempuan," kata warga Indonesia yang mengasaskan Institut Pembangunan Keamanan Antarabangsa di Jakarta.

Dia berkata ahli militan IS itu tidak boleh pulang ke tanah air kerana akan ditahan.

"Mereka bosan dan tertekan. Oleh itu, lebih ramai mahu menjadi pengebom berani mati, (supaya mereka boleh) menyelesaikan misi dengan mati syahid. Ia amat menyedihkan," katanya.

Filemnya, Jihad Selfie, mengisahkan perjalanan radikalisasi warga Indonesia berusia 18 tahun, Teuku Akbar Maulana dan nyaris terlibat dengan kumpulan pengganas di Syria.

Noor Huda memulakan penggambaran selepas terserempak dengan Teuku Akbar di bandar Kayseri, Turki pada 2014.

Teuku Akbar sedang mengikuti pengajian agama dan dalam perjalanan ke Syria.

Filem dokumentari Noor Huda membawanya ke sempadan Turki dengan Syria di mana dia bertemu beberapa militan IS dari Malaysia dan Indonesia.

Dalam dokumentari itu memuatkan temubual bersama beberapa bekas militan yang ditahan di Indonesia dan menyelami motivasi serta kekesalan mereka.

"Untuk memahami mereka adalah berbeza daripada menyokong mereka... Kita perlu memikirkan apa yang sedang berlaku kerana mengepung mereka tidak akan menyelesaikan masalah," katanya kepada pemberita selepas tayangan dokumentari di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di sini Selasa.

Dokumentari itu menunjukkan Teuku Akbar dan beberapa rakan yang lain sedang mencari identiti, tujuan dan sifat kelakian.

Noor Huda mempunyai dua rakan sejak kecil yang membuat keputusan untuk menjadi pengganas.

Salah seorang daripadanya, Utomo Pamungkas yang terlibat dalam pengeboman di Bali pada 2002.

Bekas wartawan Washington Post itu kini mengusahakan sebuah kafe di Jawa dan mengupah bekas militan selepas dibebaskan sebagai sebahagian daripada usaha mengasimilasikan semula mereka ke dalam masyarakat.

Noor Huda berkata, penghasilan dokumentari itu bukan untuk memburuk-burukkan mereka tetapi kisah tersebut boleh membantu menangani penyebaran mesej IS secara dalam talian.

militan IS, nasi lemak

Artikel Berikut

Artikel Lain