suria

SPAD Sasar Keputusan Adil, Sama Rata Untuk Semua

JOHOR BAHRU: Perkhidmatan pengangkutan awam e-hailing mungkin akan diberikan nama baharu bersama beberapa syarat baharu bagi mewujudkan satu platform adil dan sama rata untuk semua pihak yang terlibat, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.


Katanya, SPAD akan memanggil satu sidang akhbar pada minggu depan bagi memperincikan pelaksanaan sistem baharu itu.

"Dari segi dasar, kerajaan telah berbincang dan memutuskan kawal selia untuk perkhidmatan teksi e-hailing. Jadi, kami akan melihat butiran pelaksanaannya minggu depan.

"Keputusan mungkin akan menyaksikan perubahan dalam kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan atau pelaksanaan undang-undang baharu serta penurunan kuasa," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Bas, Trak dan Komponen Johor (JBTC) 2016 yang turut dihadiri Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia, Frankie Chia Jee Onn, di sini Jumaat.

Syed Hamid memberi jaminan bahawa SPAD sedang mengkaji untuk mewujudkan satu platform yang adil dan sama rata kepada semua pihak dan memastikan semuanya dibuat mengikut undang-undang.

"Yang penting kita bukan nak halalkan Uber dan GrabCar.

"Keputusannya ialah untuk membawa perkhidmatan tersebut di bawah undang-undang dalam negara kita sama ada kita buat peraturan atau kita ubah peraturan," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata SPAD akan melakukan kajian berhubung permohonan pembaharuan lesen pengendali perkhidmatan kenderaan barangan sebagai usaha memudahkan para pengendali kenderaan terbabit.

Syed Hamid berkata kajian bersama agensi kerajaan dan perbincangan dengan persatuan kenderaan yang terlibat itu akan dilakukan sebelum keputusan sewajarnya diambil.

"Sekarang ini tempoh pembaharuan lesen pengendali perkhidmatan kenderaan barangan perlu dilakukan setiap dua tahun sekali, namun, pihak persatuan kenderaan mahu ia dilanjutkan kepada tujuh tahun sekali bagi mengurangkan hal pentadbiran, birokrasi dan proses melengkapkan dokumen," katanya.

Terdahulu, Chia dalam ucapannya pada majlis tersebut memohon SPAD supaya mengkaji semula tempoh pembaharuan lesen pengendali perkhidmatan kenderaan barangan yang dilihat membebankan para pengendali termasuk kos yang tinggi.

Menurut Syed Hamid, pihaknya tidak boleh memberikan keputusan segera berhubung permintaan berkenaan dan perlu melakukan penelitian memandangkan ia melibatkan isu keselamatan.

"Kita akan bincang, tengok apa masalah sebenarnya. Kalau tiada isu keselamatan dan ia dianggap munasabah selepas melakukan perbincangan bersama agensi lain, Insya-Allah kita akan ambil tindakan sewajarnya mengenai perkara ini," katanya.