suria

Pemain Pokemon Go Makin Keterlaluan

PETALING JAYA: Semua orang kini bercakap mengenai Pokemon Go kerana pemburunya bukan sahaja berjalan di merata-rata tempat di waktu siang malah tidak ubah seperti 'zombi' di tengah malam.

Sekolah, kolej, tempat-tempat ibadat dan juga balai polis menjadi lokasi tumpuan kerana ia dijadikan sebagai PokeStops - tempat di mana pemain pergi untuk menambah peluru masing-masing.

Beberapa pihak pengurusan sekolah mendakwa ramai pelajar telah terganggu dengan permainan ini malah premis sekolah turut dihadiri oleh orang yang tidak dikenali.

Di Ipoh, SMJK Sam Tet, St Michael’s Institution dan SMK Anderson merupakan lokasi Pokestops.

Pengetua SMJK Sam Tet, Lau Swee Mun berkata, dengan peperiksaan utama seperti PT3 dan percubaan SPM semakin hampir, permainan ini dibimbangi menjadi gangguan kepada pelajar.

"Kita juga tidak mahu pelajar-pelajar terganggu dengan orang yang tidak dikenali yang datang ke kawasan sekolah.

"Saya tidak boleh kawal orang-orang yang datang mencari Pokemon di luar sekolah, tetapi saya secara peribadi merasakan kawasan sekolah tidak patut dijadikan PokeStop," kata Chan Nyook Ying, Pengetua St Michael’s Institution.

Di Pulau Pinang, Gereja St Anne tidak berminat untuk menyambut kehadiran pemain Pokemon ke premis berkenaan.

Gereja yang terletak di Bukit Mertajam itu meletakkan tanda "No Pokemon" di premisnya.

Pegawai Tadbir Gereja, Vincent Yong berkata sekurang-kurangnya 15 hingga 20 kenderaan memasuki perkarangan gereja sekitar pukul 9 pagi pada Selasa.

"Kita dapat mengenal pasti sama ada mereka datang untuk beribadat atau pelancong. Tapi mereka ini (pemain Pokemon) tidak tergolong dalam mana-mana kategori. Ia menjadi gangguan," katanya.

Seorang pemain Pokemon GO berkata terdapat enam PokeStop dan satu gimnasium dalam kawasan gereja tersebut.

Pokemon Go

Artikel Sebelum

Artikel Lain