suria

Bersatu Bukan Parti Orang Kecewa Atau Klon Umno - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ditubuhkan atas dasar kekecewaan sekumpulan bekas pemimpin Umno demi kepentingan peribadi.

Sebaliknya Ahli Jawatankuasa Penaja Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan parti itu dibina sebagai platform baharu bagi pemimpin politik berpengalaman seperti Muhyiddin membela nasib rakyat.

"Mereka perlukan platform yang baharu untuk bersuara demi rakyat. Tan Sri Muhyiddin pilih untuk bersuara, ambil risiko walaupun beliau tahu akan dikenakan tindakan sehingga dilucutkan jawatan. Ini menunjukkan satu keberanian moral.

"Sebagai rakyat kita perlu lihat ini bukan isu orang kecewa, tetapi rakyat Malaysia yang mahukan platform politik yang baharu untuk memastikan negara kita boleh diselamatkan," katanya kepada mStar Online.

Pada Selasa, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri menyerahkan permohonan bagi mendaftar sebuah parti baharu dikenali sebagai Bersatu di pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya.

Selain Muhyiddin yang bakal diangkat sebagai presiden, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dicadangkan sebagai pengerusi Bersatu.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga pendebat terbaik Asia turut menyangkal sindiran kononnya Bersatu merupakan klon kepada Umno.

"Ini bukan parti klon. Parti ini mencipta struktur yang baharu yang pro anak muda dan akan pastikan kesilapan yang dilakukan Umno tidak berulang contohnya had untuk memegang jawatan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain