suria

Tiga Juta Profesional Berhubung Guna LinkedIn Malaysia

KUALA LUMPUR: Rangkaian profesional dalam internet terbesar di dunia, LinkedIn kini mencapai tiga juta pengguna profesional di Malaysia.

Dalam kenyataannya, LinkedIn berkata peristiwa penting ini berlaku apabila rantau Asia Pasifik (APAC) melepasi 100 juta anggota, berganda daripada jumlah asas anggota dalam tempoh dua tahun sahaja.

"Dengan 37 juta anggota, India mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran kedua terbesar dari segi jumlah anggota, selepas Amerika Syarikat, dan pasaran terbesar di APAC.

"Buat masa ini China mempunyai lebih daripada 23 juta anggota, manakala  Australia mempunyai lapan juta anggota. 

"Selain Malaysia, jumlah anggota di negara Asia Tenggara lain terus meningkat, mencecah 18 juta, termasuk enam juta di Indonesia, empat juta di Filipina dan sejuta di Singapura," kata syarikat ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan LinkedIn Asia Pasifik dan Jepun Olivier Legrand berkata peningkatan ketara jumlah anggota di Malaysia dan asas anggota  yang berganda di rantau APAC, mencerminkan pemahaman yang meningkat tentang nilai ekonomi penjenamaan peribadi dan rangkaian profesional global. 

"LinkedIn berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk membantu anggota dihubungkan dengan peluang ekonomi, sama ada pekerjaan baru, promosi atau peluang perniagaan lain.

"Dengan 40 peratus atau 280 juta profesional dunia tinggal dan bekerja di  APAC, masih terdapat banyak ruang untuk kami berkembang," tambah beliau.

Pelajar dan profesional muda merupakan golongan yang paling pantas berkembang di LinkedIn. 

Pemimpin terkemuka juga berada dalam platform ini sebagai kumpulan berpengaruh LinkedIn, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Group Tan Sri Tony Fernandes, CEO DBS Bank Ltd Group Piyush Gupta dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Pada April 2016, syarikat melabur RM240 juta untuk pusat data di Singapura, yang pertama di luar Amerika Syarikat. -- Bernama



LinkedIn, APAC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain