suria

Setiausaha Akhbar Kepada PM Mohon Batalkan Saman Fitnah Mukhriz

KUALA LUMPUR: Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad memohon untuk membatalkan saman fitnah oleh bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana saman itu tiada kausa tindakan munasabah.

Peguam Ooi She Yi yang mewakili Tengku Sharifuddin memberitahu pemberita bahawa anak guamnya menfailkan permohonan itu atas alasan saman itu juga mengaibkan, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan kuasa mahkamah.

"Permohonan itu difailkan semalam (9 Ogos), dan hari ini diserahkan kepada peguam plaintif (Mukhriz)," katanya ketika ditemui selepas prosiding di dalam kamar hakim Datuk Roslan Abu Bakar.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mewakili Mukhriz mengesahkan perkara itu. Mahkamah menetapkan 11 Okt bagi mendengar permohonan untuk membatalkan saman tersebut.

Mukhriz, 51, memfailkan saman itu pada 3 Mei lepas yang mendakwa defendan (Tengku Sharifuddin) mengeluarkan empat kenyataan iaitu pada 15, 20, 23 dan 26 April lepas. 

Empat tajuk kenyataan itu adalah, 'Prime Minister's Press Secretary  Statement on Donation Confirmation by Saudi Arabian Foreign Minister'; 'Prime  Minister's Press Secretary Statement on Former DPM's Reuters Interview'; 'Mukhriz Mahathir Statement: Response by Prime Minister's Press Secretary' dan 'Prime Minister's Press Secretary Statement on Tun Mahathir Mohamed and Mukhriz Mahathir'.

Mukhriz mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Tengku Sharifuddin dalam pernyataan pembelaannya menafikan empat kenyataan itu menfitnah Mukhriz tetapi menegaskan kenyataan tersebut adalah untuk menjelaskan dan menegah tuduhan yang tidak benar terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 14 Jun, katanya, beliau tidak pernah berniat jahat atau 'malice' dalam menerbitkan kenyataan media itu tetapi ia diterbitkan untuk pengetahuan dan kepentingan rakyat Malaysia.

Tegasnya lagi beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab berat dan besar untuk membela dan menegah tuduhan tidak benar itu agar masyarakat mendapat gambaran dan fakta sebenar yang telah dikelirukan dengan sengaja oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik tertentu.

Katanya sebagai penjawat awam dan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, beliau mempunyai tanggungjawab dan tugas untuk memberi penjelasan dan kenyataan terhadap situasi politik di negara ini dan beliau juga dipertanggungjawab untuk bertindak serta memberi kenyataan kepada perkembangan politik di negara ini.

Tengku Sharifuddin berkata kenyataan media itu adalah komen adil dan berpatutan berdasarkan fakta, isu dan perkara yang telah timbul dan hangat dibincangkan pada masa itu.-- Bernama

Artikel Lain