suria

Dera: Bapa Tiri Direman, Abang & Jiran Mangsa Dipanggil Bantu Siasatan

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Roslee Daud melihat kesan kecederaan pada remaja yang dipercayai didera ketika melawatnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Selasa.

KUALA TERENGGANU: Pihak polis akan memanggil beberapa saksi termasuk abang mangsa bagi membantu siasatan kes dera seorang remaja di Marang yang dilapor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihaknya akan turut memanggil saudara serta jiran mangsa.

"Kita akan memanggil individu berkenaan untuk melakukan siasatan lanjut dan terperinci berhubung kes tersebut. Mungkin mereka mengetahui atau pernah ternampak insiden seperti yang didakwa mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam seorang remaja lelaki mendakwa menjadi mangsa dera ibu dan bapa tirinya dan sering dipukul lelaki berkenaan sejak enam tahun lalu.

Kejadian itu terbongkar selepas remaja berusia 17 tahun itu memaklumkan perkara berkenaan kepada pegawai perubatan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Isnin lalu.

Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan wujud kesan penderaan daripada bahagian paras pinggang hingga bahagian atas mangsa.

Mangsa didakwa didera dengan periuk panas, kayu dan jek kereta.

Mahkamah Majistret di sini telah membenarkan tempoh tahanan reman selama empat hari kepada bapa tiri remaja terbabit bermula hari ini manakala ibunya direman selama tiga hari bermula semalam.

Ibunya yang berumur 34 tahun yang juga peniaga ditahan manakala bapa tirinya yang berusia 46 diberkas tengah hari pada hari yang sama di sekitar Marang.-- Bernama

dera, Marang, Mohd Suhaimi Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain