suria

Ketua JPJKK Terengganu Meninggal Dunia

KUALA TERENGGANU: Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Terengganu ACP Shahrin Ahmad meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, Sabtu malam.

Beliau yang berusia 59 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira 9.10 malam, akibat masalah jantung dan sesak nafas di Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) HSNZ.

Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mula dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu, selepas mengadu sesak nafas ketika berada di pejabatnya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata arwah seorang yang sangat komited dalam menjalankan tugas serta mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan.

Katanya arwah juga tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dan pengalamannyadalam PDRM terutama bagi memantapkan lagi jabatan yang diterajuinya itu.

Pasukan telah kehilangan seorang pegawai berdedikasi dan komited dalammelaksanakan setiap tanggungjawab yang dipikul di bahunya.

"Kita juga kehilangan seorang permata di mana arwah juga seorang rakan yangsuka menghiburkan kawan-kawan dengan lawak spontannya dan kehilangan ini amat dirasai," katanya ketika ditemui di Surau Al-Hidayah IPK Terengganu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Al-Hidayah IPK Terengganu sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak, Selangor kira-kira 10 pagi Ahad.

Allahyarham Shahrin mula berkhidmat dalam PDRM sejak 37 tahun lepas danditukarkan ke Terengganu pada 19 Okt tahun lalu dan memegang jawatan Ketua  JPJKK Terengganu.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Rokiah Ibrahim dan lima anak. -Bernama

ACP Shahrin Ahmad

Artikel Lain