suria

Rancangan Serang Singapura: Keselamatan Negara Masih Terkawal

Nur Jazlan Mohamed.

KUALA LUMPUR: Keselamatan negara masih terkawal dari ancaman pengganas berikutan laporan mengenai penangkapan enam rakyat Indonesia yang didakwa merancang untuk menyerang Singapura, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri sentiasa mengambil tindakan proaktif berikutan kes-kes serangan pengganas yang berlaku di negara jiran sebelum ini.

"Kita sentiasa berjaga-jaga susulan kes yang berlaku di Bangkok dan Jakarta sebelum ini, setakat ini keselamatan negara terkawal," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu kehormat pada majlis KL Sogo's Business Partners Appreciation Banquet 2016 di sini malam Jumaat.

Menurut laporan Reuters, jurucakap polis Indonesia berkata enam rakyat Indonesia ditangkap di Pulau Batam pada Jumaat kerana merancang serangan terhadap Singapura.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata satu pertemuan dengan semua duta luar negara akan diadakan Selasa ini bagi menjelaskan bahawa rakyat dan pelancong asing di negara ini berada dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, Nur Jazlan mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjumpa bungkusan atau bagasi mencurigakan ditinggalkan di tempat tumpuan awam.

"Jika ada bungkusan atau bagasi terutama di tempat membeli-belah atau pengangkutan awam, sila buat laporan segera, ia mungkin bahan berbahaya," kata beliau.

Beliau juga mengingatkan pihak yang sengaja meninggalkan bungkusan atau bagasi di mana-mana sahaja dengan apa jua isi boleh didakwa kerana menimbulkan kebimbangan awam. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain