suria

Anggota Polis Dibelasah Lapan Lelaki Di Tapak Pembinaan

Sum Chang Keong.

IPOH: Seorang polis berpangkat koperal cedera dipukul lapan lelaki selepas cuba menghalang mereka daripada mencuri mozek di tapak pembinaan di Taman Sri Wangi Lahat di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, anggota polis itu dipukul sehingga pengsan dalam kejadian pada pukul 6 petang Khamis lalu.

"Dia dalam perjalanan ke tempat kerja kira-kira pukul 4 petang apabila terlihat semua suspek memakai topi keledar bertutup penuh menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan memasuki kawasan pembinaan itu.

"Dia turun dari keretanya dan mengekori semua suspek di mana dia terlihat mereka cuba untuk mencuri mozek.

"Mangsa berjaya menangkap seorang suspek tetapi berlaku pergelutan," kata Sum.

Beliau berkata rakan suspek cuba membantu suspek dan memukul anggota polis itu sehingga pengsan.

"Sebaik sedar mangsa mendapati pistolnya hilang sebelum mendapatkan bantuan rakan untuk membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan," kata Sum.

Beliau berkata pasukan forensik dihantar ke lokasi kejadian dan menjumpai sepucuk pistol milik mangsa jenis Smith & Wesson beserta lima butir peluru dan dua kayu yang dipercayai digunakan suspek.


anggota polis, dipukul, cedera

Artikel Lain