suria

Polis Sabah Siasat Kes Tekong Kapal Dakwa Diculik

Wan Abdul Bari Wan Khalid.

SANDAKAN: Satu siasatan sedang dijalankan terhadap dakwaan bahawa tekong sebuah kapal nelayan diculik lelaki bersenjata di perairan Kertam di Kuala Kinabatangan, Sabah.

Kejadian dipercayai berlaku pada Rabu tetapi laporan polis hanya dibuat pada Jumaat oleh pemilik kapal pukat tunda nelayan itu.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan pemilik kapal pukat tunda itu telah membuat laporan polis.

"Ini tidak kelihatan seperti penculikan yang biasa. Siasatan polis sedang dijalankan, saya tidak boleh komen apa-apa buat masa ini," kata polis.

Difahamkan beberapa panggilan telah dibuat untuk meminta wang tebusan bernilai ribuan ringgit berbeza dengan kes penculikan rentas sempadan yang berpangkalan di Filipina di mana kumpulan penculik menuntut jutaan ringgit.

Penyiasat mengesyaki wujud motif lain disebalik penculikan yang didakwa berlaku itu.

Difahamkan tekong kapal itu yang juga warga Indonesia dilarikan lelaki bersenjata menaiki bot laju selepas memintas kapal tersebut dengan dua anak kapal lain.

Mereka hanya menculik tekong kapal itu dan meninggalkan dua lagi anak kapal yang kemudiannya menuju ke Sandakan sebelum membuat laporan polis di Pangkalan Polis Marin.

Esscom, culik, perairan Sabah

Artikel Lain