suria

Syarikat Pembinaan Didenda RM10,000 Curi Air Syabas

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Sebuah syarikat pembinaan didenda RM10,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen pada Jumaat kerana mencuri air dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi sebuah tapak pembinaan pangsapuri kos rendah di sini, tujuh tahun lepas.

Hakim Azwarinda Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Konsep Setia Sdn Bhd yang diwakili pengarah projeknya Eng Soon Wah selepas syarikat itu mengaku bersalah membuat penyambungan paip secara haram dari sesalur utama Syabas di Lot 48729 (PT 16929) Petaling, pada 3 Julai 2012.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pegawai serbuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang membuat pemeriksaan terhadap syarikat itu mendapati ia membuat sambungan paip secara haram ke suatu salur utama awam tanpa melalui sebarang meter air sah di premis projek terbengkalai itu.

Hasil siasatan mendapati premis tersebut dihuni dan berada di bawah kawalan kontraktor utama iaitu Konsep Setia yang menggunakan bekalan air tersebut antaranya untuk tujuan kerja-kerja pembinaan, membancuh simen dan kegunaan harian pekerja.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Farrah Ain Jamludin, dari SPAN memberitahu kes kecurian itu berlaku sejak 26 Okt 2009 sehingga 3 Julai 2012, sehingga Syabas mengalami kerugian sebanyak RM375,652.70 dan sedang mempertimbangkan tuntutan sivil terhadap syarikat berkenaan.

Farrah Ain juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas syarikat itu.

Eng yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman rendah atas alasan tidak mengetahui sambungan bekalan air tersebut adalah haram kerana ia dilakukan pekerja tapak pembinaan tersebut.

Katanya syarikat itu juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.

Artikel Lain