suria

CEO MAS Ulangi Gesaan Caj Perkhidmatan Penumpang Seragam Di KLIA, KLIA2

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAS) Peter Bellew mengulangi gesaannya supaya caj perkhidmatan penumpang lapangan terbang yang sama dikenakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Katanya caj sekarang ini adalah sama sekali bersifat anti-persaingan.

Beliau berkata langkah itu penting bagi MAS untuk meraih semula keuntungan kerana ia perlukan "caj kompetitif di pangkalan sendiri" yang akan melindungi pekerjaan pekerjanya dan membolehkan pekerjaan baharu diwujudkan pada masa depan.

"Caj bagi penumpang antarabangsa di KLIA ialah RM33 (US$8.25) lebih bagi setiap penumpang berbanding di KLIA2," katanya semasa memberi ucapan kepada kakitangan MAS di sini, Jumaat.

Ucapan beliau dikeluarkan kepada Bernama.

"Ini amat tidak adil dan sangat anti persaingan," kata Bellew, yang mengambil alih jawatan CEO dan Pengarah Urusan MAS pada bulan lepas.

Perbezaan kadar antara KLIA dan KLIA2 dilaporkan memberikan kos lebih RM100 juta setiap tahun kepada MAS.

Kira-kira 51 syarikat penerbangan lain yang beroperasi di kedua-dua terminal di Sepang itu mengharapkan pengenaan caj yang sama.

MAS bukan satu-satunya syarikat penerbangan atau persatuan yang menggesa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melaksanakan keseragaman apabila kadar disemak semula, kemungkinan, pada akhir tahun.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang berpangkalan di  Geneva dan Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) -- kedua-duanya badan perdagangan -- juga telah menulis kepada MAVCOM dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) membantah perbezaan yang tidak munasabah itu.

AAPA, yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dengan wakil antarabangsa di Brussels dan Washington, memiliki 16 syarikat penerbangan sebagai ahlinya.

"Kami akan terus menuntut layanan adil bagi Malaysia Airlines. Tidak masuk akal sebuah syarikat penerbangan dapat diskaun RM5,940 (US$1,500) bagi setiap penerbangan antarabangsa dari KLIA2," kata Bellew, yang jelas merujuk kepada  AirAsia.

IATA menggesa kerajaan Malaysia mencari penyelesaian yang akan menjadi  "hasil neutral kepada pengendali lapangan terbang" dan tidak sepatutnya ada diskriminasi antara pengguna di KLIA dan KLIA2.

Dalam menggesa caj perkhidmatan penumpang lapangan terbang yang sama di semua terminal di Kuala Lumpur, beliau berkata sekiranya caj tidak diubah pada April depan, MAS terpaksa mengoperasikan beberapa penerbangannya dari KLIA2 pada diskaun RM33 bagi setiap penumpang.

Laluan pertama adalah operasi baharu ke Asia Utara dan China yang mana akan terdapat beberapa penumpang yang bertukar penerbangan.

Berdasarkan senario ini, katanya, "Saya berharap pihak berkuasa akan menukar fikiran mereka dan memberikan persaingan adil kepada semua syarikat penerbangan.

Saya tidak mahu beroperasi dari KLIA2 dan saya hanya mahukan caj yang adil.

"KLIA2 adalah kemudahan yang sangat baik dan saya menghabiskan masa 12 jam di sana pada akhir Julai.

"Beberapa masalah bangunan telah diperbesar-besarkan kerana adalah perkara biasa berdepan sedikit masalah.

"Pengendali dan kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta dolar mempromosikan KLIA2 dan sebuah syarikat penerbangan mahu menukar nama kepada sesuatu yang mengelirukan yang tidak bermaksud apa-apa di rantau ASEAN.

"Saya rasa ia mengarut dan sudah tentunya nama itu perlu kekal sebagi KLIA2," katanya.

Bellew juga memberi tahu kakitangan yang MAS berdepan tugas sukar untuk memulihkan syarikat itu dari segi kewangan, tetapi memberikan komitmen peribadinya yang beliau akan melakukan segala yang mungkin " untuk berjuang bagi mendapatkan layanan yang adil bagi syarikat penerbangan ini daripada semua pihak berkuasa dan pembekal dalam tempoh beberapa tahun akan datang."

MAS, KLIA, KLIA2

Artikel Sebelum

Artikel Lain