suria

Umno Terengganu Bersedia Jika Pilihan Raya Negeri Jalan Terakhir - Ahmad Razif

Ahmad Razif Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mungkin mahu mengelak berlaku pilihan raya negeri (PRN) namun tetap bersedia sekiranya ia jalan terakhir, kata Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad Razif berkata Terengganu akan berdepan dua kali pilihan raya sekiranya ia berlaku dan memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.

"Kerajaan negeri seboleh-bolehnya hendak mengelak perkara ini berlaku kerana ia membawa banyak kerugian kerana terpaksa melakukan dua pilihan raya iaitu peringkat negeri dan Parlimen.

"Jika buat pilihan raya sekarang ini belanjanya bukan sedikit... bila pilihan raya umum nanti kena buat sekali lagi, jadi Terengganu kena buat dua kali dan  kos ini akan merugikan rakyat dan kita sedia maklum dengan cabaran ekonomi semasa.

"Tetapi jika keadaan terpaksa..kerajaan negeri bersiap sedia, kita beri jaminan bahawa kerajaan negeri, Badan Perhubungan Umno negeri bersiap sedia sebarang kemungkinan... tiada masalah tetapi demi untuk rakyat kita minta perkara ini dapat dipertahankan sampailah pilihan raya umum berlaku," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat negeri.

Mengenai perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri yang bakal berlangsung Isnin ini, Ahmad Razif berkata beliau yakin ia akan berjalan seperti biasa dan segala desas desus bahawa akan berlaku perkara tidak terduga hanya spekulasi dan khabar angin.

"Sidang DUN akan berjalan seperti biasa. Perkara ini timbul kerana banyak persepsi, banyak kepada khabar angin..saya rasa tiada masalah. Sidang dewan akan berjalan seperti biasa dan akan dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Ahmad Razif berkata meskipun berlaku pelbagai kemelut, beliau tetap positif dan yakin Barisan Nasional mampu memperoleh kemenangan sepertimana pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor namun masih berharap PRN di negeri ini tidak akan berlaku demi kepentingan rakyat.

Beliau yang mengibaratkan kemelut politik di sini sekadar 'ribut dalam cawan' berkata "biarlah Terengganu bersama-sama dalam pilihan raya umum akan datang".

Artikel Sebelum

Artikel Lain