suria

Gabungan NGO Serah Memorandum Ke Pejabat Perdana Menteri

Ambiga Sreenevasan
PUTRAJAYA: Satu gabungan yang terdiri daripada 34 kumpulan masyarakat sivil menyampaikan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO), menuntut ahli-ahli Parlimen mempercepatkan siasatan terhadap isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Jurucakap Gabungan Tangkap MO1 Anis Syafiqah Md Yusof berkata, gabungan itu menyerahkan memorandum itu setelah mengambil kira kebimbangan mengenai perkembangan terkini berhubung saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan dakwaan penyelewengan dalam 1MDB.


Antara lain, memorandum itu menggesa ahli-ahli Parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai 1MDB, mengubah semula status prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1MDB dan membolehkan siasatan penuh dan tanpa halangan dibuat terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam isu ini.

Lima anggota gabungan itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy, wakil Pakar Perubatan Malaysia untuk Tanggungjawab Sosial Dr Roy McCoy dan wakil daripada Oriental Hearts and Minds Institute K.J. John telah menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.

Bercakap kepada pemberita selepas itu pada Khamis, Ambiga berkata Low telah bersetuju untuk membangkitkan isu 1MDB di persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.


"Kami akan menghantar memorandum ini kepada semua menteri dan ahli Parlimen. Kami meminta ahli Parlimen untuk mematuhi sumpah jawatan dan memainkan peranan mereka untuk membawa kita keluar daripada masalah ini," katanya.

Ambiga berkata walaupun aduan mereka mungkin kedengaran seperti berulang, mereka tetap berkeras menolak isu itu untuk menunjukkan bahawa rakyat tidak melupakannya.

Memorandum itu disokong oleh 34 NGO, termasuk Lawyers for Liberty, Community Action Network, Himpunan Hijau dan Rise of Sarawak Efforts.

Pada Julai, DOJ memfailkan tindakan undang-undang untuk merampas harta yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB, bernilai lebih AS$ 1 bilion (RM4.02) yang dikatakan telah disalahgunakan.
DOJ, PMO, memorandum, 1MDB

Artikel Lain