suria

Lelaki Dipenjara Lima Bulan Tumbuk, Ugut Bunuh Isteri Hantar SMS Kepada Perempuan Simpanan

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tindakan bapa lima anak yang menumbuk dan mengugut mahu membunuh isterinya, membawa padah apabila dia dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Nasser Adli, 47, selepas tertuduh mengaku bersalah menyebabkan kecederaan kepada Susanti Susana Cabrera Gato, 48, warga Filipina dengan cara menumbuk perut dan pinggang mangsa menggunakan tangan.

Tertuduh juga mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan kata-kata untuk membunuh mangsa dengan niat hendak menyebabkan ketakutan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi kedua-dua pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 6 Jun lepas.

Nasser seorang buruh binaan didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di sebuah rumah, di Jalan 1/38J, Taman Indah Murni, Segambut Tengah, di sini, pada 9.30 malam, 5 Jun lepas.

Bagi pertuduhan mencederakan, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan untuk pertuduhan mengugut, dia didakwa di bawah Seksyen 506 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah memukul, memusingkan tangan mangsa dengan kuat, menumbuk perut dan pinggang mangsa kerana mengesyaki isterinya itu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada perempuan simpanannya.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Cyrus Tiu Foo Woei memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh merupakan penanggung utama dalam keluarganya dan dia juga menghidap penyakit lemah jantung.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahannya.

Artikel Lain