suria

KDN Larang Tanam Pokok Ketum Secara Komersial Di Malaysia - TPM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penanaman pokok ketum secara komersial di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.

Beliau berkata ia turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati daun ketum lebih banyak memberi kesan buruk kepada kesihatan berbanding kebaikan.

"Buat masa ini kerajaan putuskan tidak izinkan (pokok ketum) ditanam secara komersial, diedarkan dan digunakan kerana keburukannya lebih banyak.


"Kita telah dapat input secara saintifik, daun ketum ini ada unsur-unsur kebaikan tapi lebih banyak unsur-unsur tidak baik jika digunakan iaitu boleh menyebabkan ketagihan dan menimbulkan penyakit tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Media Prima, di sini, Khamis.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak menghalang penggunaan daun ketum untuk kajian perubatan secara saintifik.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebelum ini dilaporkan bercadang ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman pokok ketum secara berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal dari negara luar, yang usaha itu juga boleh mendatangkan keuntungan tinggi kepada pekebun kecil.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan bertegas akan mengambil tindakan kepada pihak yang ingkar dengan arahan larangan menanam pokok ketum untuk tujuan komersial.

Beliau berkata mereka yang berkenaan boleh diambil tindakan di bawah Akta Racun 1952 di bawah KKM.

Artikel Lain