suria

Ciri Keselamatan Semua Kompleks Mahkamah Akan Dipertingkatkan - Tun Arifin

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menunjukkan gambar Kompleks Bangunan Baharu Mahkamah Kota Bharu pada Majlis Perasmian Tapak Kompleks Baharu di Bandar Baru Tunjong, Khamis. -fotoBERNAMA
KOTA BAHARU: Semua kompleks mahkamah di seluruh negara akan dipertingkatkan ciri-ciri kawalan keselamatan bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Beliau berkata kawalan keselamatan yang akan diperkemaskan itu termasuk melibatkan penggunaan peralatan moden seperti mesin pengimbas berteknologi tinggi.

"Semua mahkamah malah mahkamah di Kuala Lumpur dan Putrajaya, dari segi keselamatan masih terdedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tapak kompleks baharu Mahkamah Kota Baharu di Tunjung di sini, Khamis.

Arifin berkata demikian ketika ditanya berhubung tahap kawalan keselamatan di mahkamah seluruh negara dalam menghadapi ancaman militan termasuk Daesh.

Beliau berkata kajian bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan kompleks mahkamah sedang dilakukan yang turut mendapat bantuan daripada Jabatan Keselamatan Amerika Syarikat dan apabila siap, laporan kajian itu akan diserahkan kepada kerajaan.

"Court Marshal Service, mereka datang buat penilaian apakah ciri-ciri keselamatan yang patut ada di kompleks mahkamah, sekarang ini di peringkat kajian, tidak lama lagi mereka akan buat laporan yang lengkap untuk kita laksanakan di semua mahkamah terutama di Kuala Lumpur," kata Arifin.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya terdapat kes perbicaraan tertentu yang memerlukan kawalan keselamatan dipertingkatkan, ia akan dilakukan oleh pihak polis.

Mengenai perbicaraan kes yang berkaitan dengan keselamatan seperti militan Daesh, Arifin berkata setakat ini terdapat lima hakim khas yang mengendalikan kes berkenaan iaitu empat di semenanjung dan seorang di Sabah.

Sementara itu, kompleks baharu Mahkamah Kota Baharu akan dibina di tapak seluas 2.68 hektar melibatkan peruntukan hampir RM100 juta.

Kompleks berkenaan yang akan dilengkapi dengan pelbagai prasarana dan peralatan moden dijangka siap pada April 2020.

Arifin berkata pembinaan kompleks mahkamah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan yang tinggi terhadap Badan Kehakiman dalam mempertingkatkan keberkesanan sistem penyampaian keadilan.

Artikel Lain