suria

Muhyiddin Akan Kemuka Permohonan Parti Baharu Kepada RoS

(dari kiri) Kamarul Azman, Ainina, Muhyiddin, Dr Mahathir, Mukhriz, Akhramsyah Muammar dan Syed Saddiq pada mesyuarat, Rabu.

PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai penubuhan parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin berkata, mesyuarat mengenai penubuhan parti baharu itu diadakan di kediaman bekas perdana menteri pada Rabu malam.

"Alhamdulillah. Mesyuarat penubuhan parti baru di kediaman Dr Mahathir malam tadi berlangsung dengan sempurna. 

"Saya akan menyerahkan permohonan untuk mendaftar parti baru ini kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan dalam masa terdekat," katanya menerusi posting di akaun Facebooknya pada Khamis.

Menurut Muhyiddin, beliau berharap agar permohonan tersebut diluluskan.

"Sama-samalah kita berdoa semoga permohonan ini akan diluluskan. InsyaAllah, kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara," katanya.

Posting tersebut turut memuat naik beberapa gambar mesyuarat yang dihadiri Dr Mahathir, bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; aktivis, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas anggota Wanita Umno Langkawi, Ainina Saaduddin; Ketua Umno Cawangan Telok Kemang yang dipecat, Kamarul Azman Habibur Rahman dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, anak lelaki kepada veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid.



Artikel Lain