suria

'Ratu Naga' Disyaki Muat Naik Gambar Jelik Dan Fitnah

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan seorang wanita menggunakan profil Facebook 'Ratu Naga' untuk memuat naik gambar bersifat jelik dan berunsur menghina melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut menjadi sasaran ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, menurut kenyataan SKMM pada Selasa.

Ia berkata, dalam satu serbuan di premis suspek di Jalan Klang Lama pagi Selasa, beberapa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan kad SIM dirampas bagi membantu siasatan.

"Rakaman percakapan dengan suspek juga telah diambil," kata kenyataan itu. 

Pada masa sama, beberapa lagi individu yang turut memuat naik gambar-gambar dimaksudkan itu telah dikenal pasti dan operasi dipergiatkan untuk mengesan mereka.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain