suria

Raikan Perbezaan Pendapat Di Media Sosial - Salleh

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata media sosial yang menjadi saluran popular rakyat masa kini dalam menyampai dan menyalurkan maklumat perlu digunakan secara berhemah, termasuk 'meraikan' segala perbezaan pendapat tanpa menjurus kepada sentimen kebencian.

Salleh, yang genap setahun menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 3 Ogos, berkata rakyat perlu bijak mengurus perbezaan pendapat itu dalam menentukan kelangsungan kestabilan dan kesejahteraan negara.

"Ilmu pengetahuan, pemikiran yang matang, pandangan dan kritikan yang membina serta masyarakat yang bermaklumat boleh membantu menggerakkan agenda negara dalam meningkatkan semangat patriotisme, perpaduan, keharmonian, toleransi dan hormat-menghormati di antara satu sama lain.

"Saya adalah seorang yang percaya bahawa perbezaan pendapat itu adalah perkara biasa malah ia boleh diraikan. Tetapi perbezaan pendapat tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan dan menimbulkan perasaan benci membenci," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama bersempena genap setahun beliau menerajui kementerian itu, di sini.

Salleh, 59, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Politik dan Kerajaan, Universiti Putra Malaysia, adalah seorang pemimpin Sabah yang berpengalaman luas dalam politik tanah air.

Beliau pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dari 28 Disember 1994-27 Mei 1996, selain memegang pelbagai portfolio penting dalam kabinet Sabah dan terkini  dilantik sebagai Bendahari Umno menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meletak jawatannya dalam parti pada Jun lepas.

Mengenai keluhan rakyat terhadap isu capaian dan kepantasan internet, Salleh berkata kerajaan terus berazam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana ia bukan sahaja penting dalam menghubungkan orang ramai melalui saluran komunikasi, tetapi juga menjadi asas pembangunan ekonomi menerusi industri berintensifkan pengetahuan.

"Saya memberi penumpuan untuk mempertingkatkan capaian internet melalui projek pembinaan jalur lebar berkelajuan tinggi Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi 2 (HSBB 2) dan Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB).

"Sehingga kini, kelajuan perkhidmatan jalur lebar telah meningkat dengan tersedianya sejumlah 1.9 juta port dalam Projek HSBB dan HSBB2 yang memberi liputan dan manfaat kepada 3.1 juta premis di kawasan-kawasan yang terlibat," katanya.

Katanya, untuk peluasan liputan Jalur Lebar Mudah Alih 3G pula, sebanyak 1,392 lokasi telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G di seluruh negara.

Katanya, Peluasan Rangkaian Fiber Optik atau Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) yang melibatkan pembinaan kabel rangkaian dasar laut yang menghubungkan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak dapat meningkatkan jaringan komunikasi dengan lebih pantas.

"Saya merasa bangga kerana inisiatif ini telah berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia di rantau Asia-Pasifik dalam Indeks Pembangunan ICT (IDI) dari tangga ke-9 pada tahun 2014 ke tangga ke-8 pada tahun 2015.

"Kadar penembusan jalur lebar turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan apabila lebih daripada 30 juta langganan jalur lebar dicatatkan pada 2015, iaitu peningkatan 50 peratus daripada 20 juta pada 2014," katanya.

Di kawasan pedalaman pula, Salleh berkata Pusat Internet 1Malaysia atau PI1M yang berfungsi sebagai pusat ilmu dan menawarkan capaian asas internet dan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta keusahawanan secara percuma telah dan sedang dibina.

Sehingga suku pertama tahun ini, sebanyak 675 PI1M telah siap dibina manakala 164 yang lain dalam proses pembinaan yang memberi manfaat kepada lebih sejuta pengguna, katanya.

Media Sosial, Salleh Said Keruak

Artikel Berikut

Artikel Lain