suria

Dua Warga India Didakwa Simpan 1,011 Ekor Kura-Kura Tanpa Lesen

PETALING JAYA: Dua lelaki warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menyimpan 1,011 ekor kura-kura jenis 'Indian Star' tanpa lesen dan menyakiti hidupan liar itu.

Ayub Khan Nazeer, 36, pekerja restoran dan Jaffar Sadik Khaja Mohideen, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mereka didakwa bersama-sama menyimpan kura-kura jenis itu yang tidak matang, iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 di dalam Jadual Pertama, tanpa lesen, di bawah Seksyen 61 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama menyimpan kura-kura yang sama di dalam 44 bekas bakul plastik dengan cara yang menyebabkan kesakitan atau penderitaan terhadap hidupan liar itu mengikut Seksyen 86 (1)(c) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri bernombor 43, Jalan 22/44, Taman Sri Aman, Seksyen 22, Taman Aman di sini pada 6.30 petang, 25 Julai lalu.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan, Abd Aziz Mohd Yasin, tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh atas faktor mereka merupakan warganegara asing namun memohon mahkamah menetapkan satu jaminan yang tinggi dengan dua penjamin setiap seorang sekiranya jaminan dibenarkan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 30 Ogos untuk sebutan kes.

Indian Star, kura-kura

Artikel Lain