suria

MOF Yakin 1MDB Menang Kes Timbang Tara

Johari mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Berfokus Bajet 2017 mengenai kos sara hidup di Putrajaya pada Isnin. - foto MOHD SAHAR MISNI/The Star

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan amat yakin 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan memenangi kes timbang tara yang difailkan oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar) berhubung pertikaian pembayaran hutang.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata:"Berdasarkan semua dokumen yang diberikan oleh 1MDB kepada saya, saya amat yakin (dengan kemenangan 1MDB).

"Sebab itulah kita mengambil keputusan untuk tidak membayar faedah berkenaan...kita akan menentang dan menang kes ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Berfokus Bajet 2017 mengenai kos sara hidup di sini, Isnin.

IPIC dan Aabar telah mengemukakan Permintaan Timbang Tara (RFA) kepada Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.

RFA itu menyatakan 1MDB dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc) dikatakan gagal untuk melaksanakan obligasi kontrak di bawah Lembaran Terma Terikat (BTS) seperti yang dijelaskan dalam pengumuman IPIC GMTN Ltd pada 10 Jun, 2015.

Johari berkata sebutan bagi kes timbang tara itu ditetapkan pada September.

Beliau berkata pertikaian itu adalah berhubung penafian IPIC bahawa ia adalah syarikat induk Aabar walaupun dokumen menunjukkan pemilikannya.

"Kita telah berurus niaga dengan semua syarikat ini, kini secara tiba-tiba mereka mengatakan syarikat berkenaan bukan milik mereka. Kita mahu menyelesaikan perkara ini dengan mereka di dalam mahkamah dan biarlah mahkamah timbang tara melihat kepada dokumen kita," katanya.

Mengenai kenyataan 1MDB bahawa penyata kewangan 2013 dan 2014 yang telah diaudit tidak boleh lagi diguna pakai oleh mana-mana pihak, Johari berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan kes berkenaan memandangkan 1MDB telah menyelesaikan hutangnya dengan bank tempatan dan tidak berniat untuk membuat mana-mana pinjaman wang lagi. - BERNAMA

Artikel Lain