suria

'Kepelbagaian Mampu Menyatukan Kita' - Datuk Lat

Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali dengan nama Datuk Lat.
IPOH: Bagi kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid, yang mana karya-karyanya telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia, kunci kepada kesepaduan dapat dicapai apabila tiada sesiapa yang menyuruh untuk berbuat demikian.

"Ketika masih kecil, tiada siapa yang beritahu kami apa yang perlu dilakukan. Kami bercampur dengan semua orang tanpa mengira latar belakang dan duduk bersama di dalam kelas," katanya.

Katanya, kanak-kanak kemudian akan tertarik untuk mengetahui tentang wujudnya perbezaan antara satu sama lain.


"Anda ingin tahu lebih banyak mengenai orang lain. Saya fikir jika anak muda tidak ada ciri-ciri ini, ini bukan perkara biasa dan ia tidak seharusnya jadi begitu," kata kartunis terkenal ini yang lebih dikenali sebagai Lat.

Lat, 65, berpandangan bahawa beberapa ahli politik hari ini telah membeza-bezakan rakyat dengan kenyataan mereka dan bukannya bertindak menyatukan rakyat.

Beliau mengimbas kembali zaman persekolahannya apabila beliau berpeluang bergaul dengan rakan pelbagai kaum di sebuah sekolah berasrama penuh Inggeris.

"Saya datang dari kampung Melayu dan dikelilingi dengan orang-orang sama warna kulit sehinggalah tahun enam barulah saya mula bergaul dengan bukan Melayu."

Lat berkata, beliau sering bertemu rakan-rakannya di panggung wayang dan makan bersama dengan mereka.

"Memang ibu bapa akan bertanya mengapa saya berjumpa dengan seorang kawan Cina di rumahnya dan mengingatkan saya untuk berhati-hati kerana kita mempunyai halangan tertentu dari segi makanan.

"Memang benar kita mempunyai perbezaan tetapi saya fikir ia tidak seharusnya menghalang kita daripada bergaul dengan satu sama lain, terutamanya apabila anda masih muda," katanya.

Mengimbas tahun 1970-an terutama selepas kejadian rusuhan kaum pada 1969, beliau berkata: "Saya mula melukis untuk sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris. Saya tahu akhbar itu dibaca oleh ramai orang jadi saya tidak boleh melukis kartun hanya untuk menarik bangsa tertentu sahaja.

"Saya perlu memperluaskan skop saya. Jadi saya mula berfikir, apakah persamaan rakyat Malaysia? Saya mahu melukis sesuatu berkaitan rakyat Malaysia yang mudah difahami dan membuatkan mereka dapat ketawa bersama-sama."

Lat melakukannya dengan mengambil situasi 'waktu makan'.

"Jadi saya mula pergi ke restoran untuk melihat bagaimana orang-orang dari latar belakang yang berbeza duduk dan makan bersama," katanya.

Beliau bercakap mengenai bagaimana beliau mendapat inspirasi daripada sebuah majlis perkahwinan Sikh selepas melihat gambar perkahwinan seorang pemilik kedai capati yang diletakkan di dinding restoran itu di Kuala Lumpur.

"Saya mula mendedahkan diri saya dengan budaya pelbagai kaum kerana saya ingin memberi maklumat melalui lukisan.

"Selepas karya saya mengenai perkahwinan Sikh itu diterbitkan, sambutan daripada komuniti begitu menggalakkan kerana mereka beritahu itulah sebenarnya yang mereka lalui pada majlis perkahwinan mereka," katanya.

Lat percaya bahawa kunci untuk menyatukan masyarakat yang kaya dengan budaya seperti di Malaysia adalah mencari perkara-perkara yang mempunyai persamaan.

Atas kepercayaan inilah yang mendorong beliau untuk menyertai Anak-Anak Malaysia Walk, yang bermatlamat meraikan kepelbagaian di Malaysia dan menggalakkan perpaduan dan persefahaman.

"Saya sukakan apa sahaja yang dapat menyatupadukan orang ramai. Bagi saya, anda mesti mampu bercampur dengan pelbagai kaum dalam masyarakat Malaysia," katanya.

Sebagai kartunis yang telah bersara, Lat berkata sudah tiba masanya untuk generasi muda bertindak atas semangat ini sekarang.

"Tolak politik ke tepi dan bawa rakyat bersama-sama," katanya.

Anak-Anak Malaysia Walk 2016 yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan, akan bermula di Pusat Bandar Bukit Bintang pada 14 Ogos.

Peserta akan berjalan kaki sejauh 3.4km  bermula dari persimpangan Jalan Imbi dan Jalan Pudu di tapak bekas Penjara Pudu, di mana apeserta akan dilepaskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

#AnakAnakMalaysia Walk dianjurkan oleh Star Media Group, dengan kerjasama EcoWorld.

Penaja lain untuk acara tersebut termasuklah Penaja Kereta: Proton, Penaja Emas: Panasonic dan Penaja Perak: Tenaga Nasional dan YES.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-7967 1388, ext 1432/1529/1243 (Isnin hingga Jumaat, 9pagi hingga 5 petang).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain