suria

DOJ Tak Libatkan 1MDB - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) tidak melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Beliau berkata, laporan tersebut tidak mengambil pandangan mana-mana pihak daripada 1MDB dan pihak berkuasa Malaysia.

"Ia juga tidak menyebut 1MDB mempunyai aset di Amerika Syarikat, bermakna 1MDB tidak terlibat dalam laporan tersebut, kerana 1MDB tak dinamakan dalam senarai laporan berkaitan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato Onn di sini, Jumaat.

Bagaimanapun kata Najib, laporan itu didedahkan menerusi publisiti secara besar-besaran, sedangkan kes sivil tidak dilakukan seumpama itu.

Ditanya punca publisiti besar-besaran itu, Najib berkata: "Ada banyak pandangan mengenainya tetapi saya tidak mahu buat spekulasi."

Sementara itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata, kerajaan akan mempertingkatkan keselamatan berikutan pelbagai ancaman dan Malaysia tidak terkecuali dengan cabaran itu.

Jelasnya, ancaman-ancaman itu termasuk insiden penculikan di perairan Timur Sabah, pencerobohan bersenjata di sempadan Malaysia-Thailand, kejadian pembunuhan secara terang-terangan termasuk ancaman IS seperti yang berlaku di sebuah kelab malam di Puchong baru-baru ini.

Kata Perdana Menteri lagi, mesyuarat MT Umno kali ini turut membincangkan soal keselamatan dengan mengambil kira perkembangan mutakhir negara ini.

"MT berpendapat tahap keselamatan perlu diberi keutamaan, kita hendak mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dalam negara," kata Najib sambil berharap rakyat dapat memahami sekiranya terdapat peraturan baharu demi memastikan kawalan keselamatan terjamin.

DOJ, 1MDB, MT Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain