suria

Tiada Rakyat Malaysia Terlibat Insiden Tembakan Di Munich

Orang ramai diminta meninggalkan lokasi kejadian tembakan sambil dikawal pasukan keselamatan pada Jumaat.

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia terlibat dalam insiden tembakan yang dilaporkan melibatkan seorang penembak di Olympia Einkaufzentrum, sebuah pusat membeli-belah di tengah Munich, Jerman pada Jumaat lalu.

Pihak berkuasa Jerman telah menyatakan bahawa 10 orang, termasuk penembak yang disyaki telah terbunuh dan 16 lagi cedera.

Kedutaan Besar Malaysia di Berlin dan Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan telah memberi maklumat terkini dan segera kepada komuniti Malaysia di sekitar Munich berhubung kejadian tersebut.

Beberapa kumpulan rakyat Malaysia yang berada di sekitar kawasan pusat membeli-belah Olympia Einkaufzentrum ketika kejadian, termasuk sepasukan atlet Malaysia yang sedang mengambil bahagian dalam kejohanan bowling 7th Track Open di Munich, telah menghubungi pihak Perwakilan Malaysia dan dilaporkan selamat dan berada di lokasi yang terkawal.

Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam insiden ini.



Artikel Lain