suria

Mangsa Banjir Di Kedah Meningkat Kepada 476 Orang Pagi Khamis

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di empat daerah di Kedah meningkat kepada 476 orang setakat pukul 8 pagi Khamis, berbanding 385 orang petang Rabu.

Sehingga pagi Khamis juga, enam pusat pemindahan masih beroperasi manakala 11 yang lain ditutup.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar (PA) Imran Azemi berkata jumlah itu membabitkan 132 keluarga di daerah Yan, Kuala Muda, Baling dan Pendang.

Bagi daerah Yan, seramai 79 mangsa ditempatkan di Surau Kampung Batu 22, Surau Kampung Teroi Bukit (117), Surau Kampung Sungai Lintang (62), Kampung Sungai Malai (44) dan Dewan Shukor Yan (67).

Bagaimanapun, menurut Imran, empat pusat pemindahan iaitu di Masjid Titi Teras, Surau Nurul Huda Batu 18 1/2, Surau Kampung Lubuk Boi dan Surau Kampung Setar telah ditutup.

Di Pendang, satu pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Dewan Cenderawasih yang menempatkan 107 orang daripada 31 keluarga.

Pusat pemindahan lain yang ditutup adalah tiga di daerah Baling iaitu Surau Kampung Seputeh, Surau Kampung Tawar dan Dewan Orang Ramai Macang Bubuk.

Menurutnya, kesemua empat pusat di daerah Kuala Muda iaitu Dewan Keda dan Surau Kampung Tepi Sungai, Surau Kampung Batu 5, Surau Kampung Sungai Rotan dan Surau Kampung Guar Stesen ditutup tengah hari semalam.

Keadaan cuaca pada sebelah pagi ini pula adalah mendung, kata Imran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain