suria

Ahli Perniagaan Bergelar 'Datuk' Meninggal Dunia Selepas Rumah Dipecah Masuk

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan jual beli hartanah bergelar Datuk meninggal dunia akibat terkejut selepas kediamannya dipecah masuk tiga lelaki di Bukit Pantai, Bangsar, di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Datuk Abdul Haleem Shah Salamat Shah, 72, dan isterinya yang baru tiba di rumah mereka terdengar bunyi bising dari arah dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata Abdul Haleem Shah yang panik menjerit meminta bantuan daripada orang ramai menyebabkan ketiga-tiga lelaki itu terus melarikan diri melalui bahagian belakang rumah.

"Sebaik sahaja tiga lelaki itu melarikan diri, mangsa segera masuk ke bilik tidur utama untuk membuat pemeriksaan namun secara tiba-tiba beliau mengalami sesak nafas dan rebah di biliknya," katanya kepada Bernama.

Sharul Othman berkata pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya kemudian datang ke rumah mangsa untuk pemeriksaan dan disahkan meninggal dunia pada 10 malam tadi.

"Hasil pemeriksaan di rumah mangsa mendapati terdapat lima kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman berkenaan namun 'decoder' CCTV yang terletak di dalam bilik tidur utama telah dilarikan suspek bagi mengelak mereka dikesan pihak berkuasa," katanya.

Katanya suspek melarikan dua bentuk cincin berlian, seutas jam tangan jenama Rolex dan wang tunai mata wang asing yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM60,000.

Sharul Othman berkata suspek dipercayai membakar wayar elektrik sistem penggera rumah dan masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap di ruang dapur.

Artikel Sebelum

Artikel Lain