suria

MH17: Dua Tahun Menunggu Keadilan

Tiga beradik Noor Akmar Mohd Noor,57, (kiri), Noor Aini Mohd Noor, 60, (tiga kiri) dan Norlin Mohd Noor,49, (kanan) menziarahi kubur kakak kesayangan mereka Norahimah Tournier Mohd Noor yang terkorban dalam nahas dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Tambun, Ipoh. Esok genaplah dua tahun nahas di ruang udara Ukraine-Russia yang membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 meragut nyawa semua 298 penumpang dan anak kapal.

KUALA LUMPUR: "17 Julai 2014, bermula hijrah baharu kita, Alhamdulillah", ini posting terakhir Ariza Ghazalee pada akaun Facebooknya beserta gambar bagasi yang dimuat naik sebelum beliau berlepas dengan Pesawat 17  Malaysia Airlines.

Dua tahun telah berlalu, namun posting ini masih main-main dalam minda sepupunya Zulrusdi Mohamad Hol mengenai tragedi yang menimpa Ariza serta 298 orang yang berada di atas pesawat Boeing 777 yang ditembak jatuh ketika dalam perjalanan menuju Kuala Lumpur daripada Amsterdam.

Tiada yang selamat dalam kejadian itu.

Dan selama dua tahun juga anggota keluarga Ariza menunggu-menunggu bila keadilan dapat ditegakkan ke atas mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah keji tersebut.

"Tiada keadilan yang tertegak. Kami menunggu dengan penuh kesabaran bagi jawapannya, namun sehingga saat ini, tiada ketelusan yang dilihat.

"Mereka melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan dan masih bebas di luar sana.

"Kami ingin tahu siapa yang melakukannya. Mereka yang berkenaan perlu dihukum dan membayar ke atas kerosakan yang mereka lakukan.

"Mereka yang terlibat dalam siasatan kes ini nampaknya turut berdiam diri.

Apabila ini berlaku orang akan melupakannya dan ini tidak boleh dibiarkan," katanya kepada Bernama.

Ariza bersama suaminya Tambi Jiee dan empat orang anak mereka Muhammad Afif, Muhammad Afzal, Marsha Azmeena dan Muhammad Afruz Tambi berada dalam pesawat malang berkenaan.

MH17 ditembak ketika berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Tahun lepas Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra mengesahkan ia ditembak dengan peluru berpandu darat ke udara di timur Ukraine.

Zulrusdi berkata keluarganya masih bersedih dengan kejadian tersebut.

"Kami mengingatinya (Ariza) setiap hari. Kami hanya berdoa dan menerima takdir yang menimpa. Kami mungkin kelihatan tenang, namun dalam hati, kami merasakan kesedihan dan kesakitan," katanya.

Beliau berharap tindakan lebih agresif dapat dilakukan bagi membawa pihak  bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Kita menyeru kepada pihak yang berkenaan terutama kerajaan Malaysia untuk  berkeras sikit kerana ia berlaku terhadap penerbangan negara.

"Mereka perlu memberi tekanan ke atas Mahakamah Keadilan Antarabangsa agar mempercepatkan siasatan terakhir," katanya.

Turut berkongsi kesedihan ialah Munirah Mustafa, 54, kakak kepada Allahyarham pramugari Mastura Mustafa, yang masih mengingati mesej terakhir adiknya yang dihantar melalui WhatsApp sebelum berlepas dari Amsterdam.

"Dia kata nak masak sambal daun kayu tempoyak masa dia balik nanti. Dia  suruh saya jaga diri. Memang tak sangka itu merupakan pesanan terakhir dia," kata Munirah.

Ditanya mengenai perasaan bapanya Mustafa Abdul Samad, 84, dengan kehilangan Mastura, beliau berkata walaupun tidak menunjukkan kesedihan, namun bapanya begitu merindui Mastura.

"Dia tabah, kuat semangat, mungkin dia rasa sedih tapi dia tak tunjuk  kepada sesiapa, dia memang dah reda dengan pemergian arwah," katanya.

Munirah berkata keluarganya menyambut Aidilfitri kali ini secara sederhana kerana ulang tahun tragedi MH17 kali ini jatuh pada bulan Syawal. 

MH17

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain