suria

Pembunuhan Bill Kayong: Dua Lelaki Didakwa Di Mahkamah

MIRI: Dua lelaki yang ditahan berhubung pembunuhan Setiausaha PKR cawangan Miri Bill Kayong dihadapkan di Mahkamah Majistret Miri, Jumaat.

Mohamad Fitri Pauzi, 29, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill, 43, pada 21 Jun kira-kira 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasaraya E-Mart Jalan Miri-Bintulu.

Tertuduh kedua, Lie Chang Loon, 37, didakwa bersubahat dengan Mohamad Fitri mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Kedua-dua tertuduh kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan kepada mereka masing-masing dalam bahasa Malaysia dan Mandarin oleh penterjemah mahkamah. Tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Lovely Natasha Charles menetapkan 30 Ogos untuk sebutan semula kes.

Peguam Kanan Persekutuan Muhamad Iskandar Ahmad menjalankan pendakwaan manakala peguam Ranbhir Singh Sangha mewakili kedua-dua tertuduh dan peguam Abun Sui pula mewakili keluarga mangsa.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M.Sree berkata empat suspek kes berkenaan yang ditahan sebelum itu akan direman selama 21 hari mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Beliau berkata polis masih memburu tiga lagi suspek, termasuk dalang pembunuhan itu.

Terdahulu, kesemua lapan suspek yang memakai pakaian lokap tiba di mahkamah pada 8.45 pagi diiringi kawalan ketat polis dengan senjata berat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Dua daripada suspek itu dibebaskan tanpa syarat, empat ditahan di bawah POCA manakala seorang didakwa membunuh dan seorang lagi didakwa bersubahat serta membunuh.

Lebih 20 pegawai polis termasuk Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Johnathan Ringgit memantau keadaan keselamatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain