suria

Kerajaan Kaji Benarkan Hanya Penumpang Berada Di Terminal Lapangan Terbang

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
ULAANBAATAR (Mongolia): Kerajaan sedang menimbangkan cadangan untuk membenarkan hanya penumpang berada di dalam terminal di semua lapangan terbang utama di Malaysia bagi meningkatkan tahap keselamatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, Kabinet pada mesyuaratnya Rabu lepas telah mencadangkan hanya penumpang sahaja dibenarkan berada di kaunter masuk manakala penghantar-penghantar perlu berada di luar bangunan atau ditempatkan di tempat tertentu.

"Kabinet telah arahkan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) memperincikan cadangan ini dengan MAHB, harap dapat lakukan dalam waktu terdekat," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini Jumaat.

Zahid, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah ke-11 yang bermula Jumaat, turut berkata Liow telah diminta mencari mekanisme supaya kereta-kereta yang menghantar atau menunggu penumpang tidak diletakkan berhampiran terminal.

"Mungkin kereta-kereta ini hanya dibenarkan diletakkan di tempat meletak kereta," katanya ketika diminta mengulas serangan pengganas di Perancis malam Khamis yang mengorbankan lebih 80 orang.

Zahid berkata beliau telah mengarahkan supaya kawalan keselamatan di semua lapangan terbang diperketatkan, termasuk penambahan anggota polis dan tentera di bawah National Blue Ocean Strategy atau Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Menurut beliau, peralatan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang akan ditambah, termasuk pembelian aset canggih seperti CCTV berdefinisi tinggi dan 'peralatan mengenal pasti wajah'.

Pada masa yang sama, beliau berharap negara-negara ASEAN yang lain akan turut mengetatkan keselamatan di lapangan terbang masing-masing.

"Saya yakin negara-negara ASEAN lain bekerjasama melalui Jabatan Imigresen dan Kementerian Pengangkutan bagi mengetatkan kawalan keselamatan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain