suria

Taska Diminta Galak Ibu Bapa Beri Vaksin Kepada Anak

ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta semua taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya menggalakkan ibu bapa memberikan suntikan vaksin terhadap anak-anak mereka.

Timbalan Menterinya, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, ia bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit seperti difteria yang boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat suntikan pelalian vaksin.

Chew berkata, walaupun ketika ini pengambilan suntikan vaksin tidak diwajibkan, namun kementerian sedar akan kepentingan pengambilan suntikan itu dan akan terus memberi didikan dan kesedaran kepada ibu bapa mengenai perkara itu.

"Kita tidak boleh memaksa ibu bapa untuk memberikan vaksin kepada anak-anak mereka kerana ia hak masing-masing tetapi mereka perlu sedar tentang kepentingan vaksin ini di mana ia dapat mengelak anak-anak daripada dijangkiti penyakit berbahaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program Perusahaan Berasaskan Komuniti (CBE) di sini, Khamis.

Sehingga 29 Jun, Kementerian Kesihatan merekodkan lima kematian daripada 13 kes difteria yang disahkan di seluruh negara.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Hilmi Yahya berkata, kemunculan terlalu banyak 'Dr Google' adalah antara punca tercetusnya kekecohan mengenai pengambilan vaksin di Malaysia baru-baru ini.

Ini berikutan ada segelintir pihak yang membuat kesimpulan sendiri bahawa vaksin mengandungi DNA porsin yang tidak halal dan boleh memberi kesan sampingan yang tidak baik ke atas kanak-kanak.

Terdahulu, Chew yang merasmikan program CBE anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) negeri Kedah berharap lebih banyak program yang melibatkan komuniti wanita dapat diwujudkan bagi membantu golongan itu mempelajari perkara baharu selain dapat menjana pendapatan sendiri.

CBE yang dicetuskan JPW Kedah bertujuan memperkasakan wanita melalui pelaksanaan program pembangunan kapasiti, peningkatan kualiti hidup melalui program kesejahteraan emosi, pembangunan wanita menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan pengupayaan ekonomi wanita.

"Ini adalah usaha baik dalam mempertingkatkan penglibatan wanita sebagai penyumbang kepada pembangunan wanita," katanya.

Taska, Vaksin

Artikel Lain