suria

Mangsa Tembak Di Taman OUG Dibedah Keluarkan Peluru

Lokasi kejadian tembakan di Taman OUG pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang cedera parah dalam insiden tembakan di Taman OUG akan menjalani pembedahan kedua bagi mengeluarkan peluru di bahagian hatinya.

Polis berkata, mangsa kini stabil tetapi dalam keadaan kritikal di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Dalam insiden tembakan pada Rabu, ibu mangsa yang merupakan seorang ejen hartanah maut ditembak dari jarak dekat oleh dua penyerang yang menaiki motosikal, semasa mangsa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah di Jalan Hujan Mas, Taman OUG.

Mangsa bersama lima anaknya dan seorang pembantu rumah dalam perjalanan untuk ke restoran berhampiran, sebelum dihampiri penyerang yang melepaskan tembakan.

Kanak-kanak perempuan di tempat duduk hadapan turut terkena tembakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, polis sedang mencari lebih banyak petunjuk berhubung kes berkenaan dan tidak menolak mana-mana sudut dalam siasatan mereka.

"Siasatan kita menunjukkan suami wanita itu mempunyai perniagaan kosmetik tetapi kita turut meneliti sama ada mereka mempunyai urusan perniagaan lain," katanya pada Khamis.

Artikel Lain