suria

Pelajar Mara Diberi Amaran Jangan Terlibat Kegiatan Militan

KOTA BARU:Penuntut di institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pelajar tajaannya di dalam dan luar negara diberi amaran supaya tidak terlibat dengan kegiatan militan dan mengancam keselamatan negara.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata pelajar yang terbukti melibatkan diri dengan anasir yang bersifat mengancam keselamatan negara akan ditamatkan kontrak termasuk tajaan, dengan serta merta.

"Pelajar tajaan Mara di luar negara tidak dibenarkan melibatkan diri dalam persatuan yang tidak diiktiraf oleh kedutaan Malaysia, pihak Mara atau universiti berkenaan, dalam Malaysia pun sama.

Kalau mereka menyertainya tanpa kebenaran, mereka melanggar kontrak, mereka boleh diambil tindakan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Bukit Marak, Peringat di sini, Khamis.

Beliau mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti sebagai tempat yang dikhuatiri mempunyai pengaruh paling kuat kumpulan militan.

Annuar berkata sekarang ini terdapat hampir 200,000 pelajar di institusi pendidikan Mara dan di bawah program tajaan Mara di dalam dan luar negara, yang kesemuanya terikat dengan kontrak yang telah dimeterai.

"Setakat ini kita pantau, belum ada yang terlibat cuma ada sedikit laporan awal beberapa pelajar kita di Amerika Syarikat di mana kita ada dapat peringatan daripada pihak keselamatan di Amerika kerana ada beberapa pelajar tajaan Mara terlibat dalam usrah yang sedang dipantau oleh pihak keselamatan Amerika.

Mereka (AS) telah maklumkan dan kita (Mara) telah mengambil tindakan kaunseling pelajar terbabit dan terus memantau," katanya.

Beliau berkata Mara memandang serius kegiatan yang menimbulkan kecurigaan melibatkan pelajarnya.

Annuar berkata semua pihak perlu memandang serius pengaruh dan ancaman daripada kumpulan pengganas.

"Sebab itu adalah penting bagi institusi pengajian tinggi mengawal kegiatan bukan akademik, badan atau persatuan hendaklah ditapis oleh pihak universiti, bahagian hal ehwal pelajar dan bahagian kaunseling, kita tahu gerakan ini bersifat global dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk profesional," katanya.

Sementara itu, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh dan Ketua Penerangan Umno, menyifatkan kehadiran ribuan rakyat berbilang kaum di rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara, membuktikan ia hasil keamanan dan keharmonian negara.

Dianggarkan 15,000 orang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan oleh Anggota Parlimen Ketereh itu.-- Bernama


Mara, Annuar Musa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain