suria

Suspek Serangan Bom Tangan Yang Diburu Berniaga Di Pasar Malam

Md Saifuddin Muji (kiri) dan Jasanizam Rosni.
BATU PAHAT: Dua suspek militan Negara Islam (IS) yang berada dalam senarai paling dikehendaki polis kerana terlibat dalam serangan bom tangan di kelab malam di Puchong adalah peniaga pasar malam dan sudah lama berkawan.

Pada Isnin, polis mengenal pasti kedua-duanya sebagai Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33.

The Star telah berkunjung ke rumah mereka di Johor dan bercakap dengan ahli keluarga mereka yang terkejut kedua-duanya mempunyai kaitan dengan serangan itu.

Adik lelaki Jasanizam, Irsyad Rosni, 23, berkata Saifuddin akan memandu ke rumah keluarga mereka di Parit Raja di sini untuk mengambil abangnya yang dipanggil Ijam di kalangan orang terdekat.

"Saya boleh cam dia apabila saya melihat dua gambar yang disebarkan di media sosial," kata Irsyad di rumahnya di Kampung Parit Haji Salleh Ros.

Irsyad, yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat kewangan di Kuala Lumpur, berkata Ijam berniaga kecil-kecilan di pasar malam berhampiran rumah keluarganya.

"Dia tinggal di rumah keluarga dengan isteri dan tiga anaknya untuk menjaga ibu yang berusia 66 tahun. Ayah kami meninggal dunia beberapa tahun lalu," katanya, sambil menambah Ijam, anak keenam daripada lapan adik-beradik, jarang keluar jauh dari rumah.

Irsyad berkata Ijam tidak pulang sejak hujung minggu lalu.

"Kali terakhir saya jumpa dengannya pada minggu kedua Ramadan. Kami berbual ringkas seperti biasa dan dia bertanya tentang kerja dan kesibukan kerja saya," katanya.

Irsyad berkata ibunya terkejut apabila polis datang mengetuk pintu rumah mereka pada Ahad, bertanya tentang Ijam.

"Kami terkejut apabila dapat tahu dia diburu berkaitan serangan bom tangan.

"Selagi kita tidak tahu keseluruhan cerita, lebih baik kami bertenang. Tetapi Hari Raya tahun ini tidak akan meriah untuk kami," katanya.

Keluarga Saifuddin berkata dia kali terakhir dilihat di rumah mereka di Kampung Parit Gantung di Seri Merlong, Rengit, Jumaat lalu.

Sejak itu dia tidak dapat dihubungi.

"Ibu saya kecewa dan kehilangan kata-kata," kata abang Saifuddin yang enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata Saifuddin rapat dengan ibu mereka.

"Dia selalu membantu di pasar malam dan biasanya pulang ke rumah selepas kerja. Dia bukan jenis yang selalu keluar," katanya.

Serangan bom tangan di Movida Kitchen, Bar & Club Lounge di Puchong Selasa lepas menyebabkan lapan orang cedera.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan pada Isnin bahawa serangan itu dilakukan oleh dua militan IS, yang telah ditahan pada Jumaat di sebuah kilang di Klang di mana mereka bekerja.

Beliau berkata Saifuddin dan Jasanizam dipercayai terlibat dalam serangan itu, yang merupakan serangan pertama IS di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain