suria

Malaysia Minta OIC Adakan Mesyuarat Tergempar Isu Keganasan

Datuk Seri Anifah Aman
PUTRAJAYA: Malaysia meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mengadakan satu mesyuarat tergempar antara menteri-menteri luar negara anggota bagi membincangkan isu keganasan di negara-negara Islam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata pihaknya telah menghubungi pihak OIC namun masih belum mendapat pengesahan mengenai mesyuarat itu.

"Saya tidak pasti bila agaknya Setiausaha Agung OIC (Tan Sri Iyad Ameen Madani) akan adakan mesyuarat itu dan saya telah meminta untuk diadakannya secepat mungkin," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas tentang serangan bom di Baghdad, Iraq dan Madinah, Arab Saudi baru-baru ini.

OIC yang terdiri daripada 57 negara-negara Islam perlu mengambil tindakan tegas supaya perkara ini tidak berulang, katanya ketika ditemui Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan jemaah menteri di Seri Perdana, Rabu.

Sejumlah 215 orang terkorban manakala 177 cedera dalam serangan bom di Baghdad dan empat orang terbunuh dalam letupan bom berhampiran ibu pejabat pasukan keselamatan yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi, Madinah.

Sementara itu, Anifah juga menasihati rakyat Malaysia supaya menghubungi kedutaan Malaysia sekiranya mereka ingin mengunjungi negara-negara yang mengalami serangan pengganas itu.

Artikel Lain