suria

Kementerian Kesihatan Bincang Wujudkan Undang-Undang Wajibkan Imunisasi

BUTTERWORTH: Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tentang cadangan mewujudkan undang-undang mewajibkan suntikan imunisasi kepada kanak-kanak di Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pada masa ini belum ada undang-undang khusus berkaitan suntikan imunisasi dan sebaiknya perkara itu diwajibkan kepada semua kanak-kanak.

"Selain itu Kementerian Kesihatan juga akan bekerjasama dengan Jabatan  Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengeluarkan fatwa mewajibkan suntikan  itu.

"Saya juga berharap agar masjid-masjid di seluruh negara dapat membaca  khutbah berkaitan kepentingan imunisasi pada solat Jumaat supaya orang ramai  diberi kesedaran agar tidak terus melakukan penganiayaan terhadap anak-anak  apabila enggan mengambilnya (suntikan)," katanya kepada pemberita selepas  Majlis Penyampaian Sumbangan kepada pesakit kanser di Hospital Seberang Jaya  (HSJ) di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dua kes terbaru difteria di Sabah dengan seorang daripadanya kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak menerima imunisasi meninggal dunia, manakala seorang lagi sedang dirawat di hospital.

Dr Hilmi berkata ibu bapa yang anak-anak mereka belum mengambil suntikan imunisasi itu boleh berbuat demikian di klinik kesihatan berhampiran, tanpa mengira berapa usia kanak-kanak itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata Kementerian Kesihatan merancang membina sebuah pusat bersalin berisiko rendah di kawasan Seberang Jaya bagi menampung jumlah kelahiran di HSJ.

Beliau berkata HSJ merekodkan kelahiran 20 bayi setiap hari dan bilangan itu 100 peratus lebih ramai berbanding kelahiran di Hospital Pulau Pinang.

"Kami sedang cari tempat untuk pusat itu supaya ia dapat beroperasi dalam masa terdekat, lokasinya perlulah hampir dengan HSJ iaitu kira-kira 10 minit perjalanan. Ketika ini pusat bersalin berisiko rendah cuma ada di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata pusat bersalin berisiko rendah itu merujuk kepada klinik bersalin untuk ibu mengandung yang tidak mempunyai masalah kesihatan. - BERNAMA


Artikel Lain